‘Ada yang bayar RM50 saja’ – Shamsul Ghau Ghau

Shamsul terpaksa guna semua wang simpanan RM300,000 termasuk menjual beberapa aset lain bagi menampung kos sara hidup keluarga sepanjang tempoh 10 tahun mengikuti pengajian al-Quran.

KUALA LUMPUR: “Kalau fikir soal nak dapat bayaran lumayan, tentulah dalam bidang seni atau nak lagi besar jadi ahli perniagaan,” kata pendakwah dan selebriti, Shamsul Ghau Ghau yang mengakui pendapatan sebagai pendakwah tidak semewah diterima ketika aktif dalam dunia hiburan.

Shamsul berkata, dia pernah diberikan bayaran sebanyak RM50 selepas diundang untuk memberikan ceramah, selain pernah menjual kerepek pada majlis ilmu yang diundang.

“Kalau ikutkan jumlah itu tak ‘lepas’ untuk duit petrol dan tol. Bayangkan kalau hari itu saya bawa pembantu peribadi berapa bayaran nak beri kepadanya?

“Dalam bidang dakwah ini saya terpaksa meletakkan sejumlah bayaran kerana kadang-kadang orang kita ini mereka buat macam tak faham. Mereka ingat saya ini makan pasir ke?

“Duit yang diberikan itu bukan duit mereka pun. Kadang-kadang duit jemaah atau duit pengurusan masjid. Jadi berilah bayaran setimpal sebab duit diberikan itu bukan untuk buat benda lain sampaikan ketika berdakwah saya terpaksa buat sesuatu seperti berniaga kerepek di majlis ilmu itu.

“Saya terpaksa berterus terang dan minta maaf kerana terpaksa luahkan perkara ini. Ada segelintir orang-orang masjid yang dilantik sebagai wakil pengurusan ini suka kumpul duit banyak dalam akaun supaya lima tahun nanti apabila jawatan beralih kepada orang lain, mereka nak tunjuk dapat kumpul duit banyak.

“Bukankah duit yang ada itu apabila dikeluarkan untuk tujuan kebaikan akan mendapat pahala berganda kepada mereka. Duit diterima ini digunakan untuk perbelanjaan harian anak-anak yang masih belajar dan bersekolah. Jadi pahala itu akan terus mengalir,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Shamsul terpaksa menggunakan semua wang simpanan berjumlah RM300,000 termasuk menjual beberapa aset lain bagi menampung kos sara hidup keluarga sepanjang tempoh 10 tahun mengikuti pengajian al-Quran, sekali gus mendapat pentauliahan untuk memberikan ceramah di negeri Selangor.

Menurut Shamsul, buat masa ini, dia hanya dibenarkan untuk memberikan ceramah motivasi khusus berkaitan ayat suci al-Quran sekitar Selangor.

“Pentauliahan ini lebih kurang sama macam kita ambil lesen. Ada macam-macam jenis lesen yang kita boleh pelajari sebelum mendapat akses itu.

“Jadi sama seperti saya yang mengikuti pengajian khusus dalam bidang al-Quran dan apabila dijemput untuk memberikan ceramah saya akan bercerita mengenai keindahan yang ada dalam kitab suci ini.

“Buat masa ini, saya hanya diberikan pentauliahan di Selangor, tapi kalau orang lain nak jemput kena minta tauliah sementara sebab bila menyentuh hal agama, minta maaf saya katakan ramai nak bercakap mengenai hal ini.

“Kalau silap cakap dan tidak mengikut landasan betul, nanti boleh sesat. Pentauliahan ini dilaksanakan supaya seseorang bercakap mengikut bidang khusus yang dipelajari seperti saya sekarang hanya ada ilmu berkaitan mukjizat yang terkandung dalam al-Quran,” katanya.

Ditanya mengenai keajaiban diperoleh sepanjang 10 tahun mengikut pengajian al-Quran, Shamsul berkata, selama ini kita sering berkongsi masalah dengan manusia, tapi hakikatnya Allah menunggu setiap luahan atau cerita yang kita lalui dalam kehidupan seharian.

“Allah sebut dalam al-Quran bermaksud hati orang beriman apabila dibacakan al-Quran bergetar hatinya. Itulah yang saya nak cari.

“Selain itu, dulu kalau sedih kita selalu cerita kepada manusia. Sebenarnya Allah nak kita luahkan kepadanya, ceritalah dalam bahasa Melayu, Dia akan dengar.

“Insya-Allah, Dia akan jawab melalui gerak hati kita atau kadang-kadang ada saja laluan atau jawapan untuk setiap masalah,” katanya.

SUMEBR : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/01/1196217/ada-yang-bayar-rm50-saja-shamsul-ghau-ghau

Share

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Latest News

Our Gallery

Follow Us

Scroll to Top
Scroll to Top

Terima kasih kerana hubungi saya.. Kami menyediakan Pakej Perkahwinan Lengkap 2024-2025.. Boleh share sikit info untuk memudahkan

%d bloggers like this: